3 CABARAN UTAMA PEWARISAN HARTA PUSAKA MUSLIM DI NEGARA INI


Semua orang akan mati. Persoalannya ialah bila? Apabila berlaku kematian pula, apakah yang terpaksa dilalui oleh waris bagi menuntut harta pusaka yang ditinggalkan? Anda mungkin berfikir anda telah menabung, melabur dan meninggalkan sebuah rumah untuk pasangan anak-anak sebagai bekalan mereka.

Tetapi tahukah anda apa yang perlu mereka lalui sebelum mereka menerima harta pusaka ini? Secara Umumnya terdapat 3 cabaran utama pewarisan harta pusaka Muslim di negara ini iaitu :


1. Perbalahan keluarga yang berpanjangan

Apabila berlaku kematian, beberapa perkara asas perlu diselesaikan sebelum proses harta pusaka boleh dijalankan. Perkara pertama ialah dari segi permuafakatan waris untuk melantik pentadbir harta pusaka dikalangan mereka. Oleh kerana pentadbir harta mempunyai kuasa yang besar, ramai waris berebut untuk menjadi pentadbir sehingga kadang-kadang permuafakatan sukar dicapai.

Hukum Faraid memang telah menetapkan bahagian untuk setiap waris. Namun Hukum Faraid tidak menetapkan siapa yang akan mewarisi rumah, dan siapa pula yang mendapat akaun pelaburan. Dalam erti kata lain, Hukum Faraid tidak menetapkan siapa yang mewarisi apa jenis harta. Oleh itu, kekeliruan sering timbul dari segi peruntukan harta. Kedua-dua keadaan ini berpotensi untuk mewujudkan perbalahan keluarga yang berpanjangan.

Sebegai pemilik harta, anda sudah pun berada di alam berzakh ketika itu. Anda mengharapkan doa daripada waris sebagai sumbangan kepada anda. Namun apa yang sedang berlaku adalah waris anda sedang bertelagah kerana isu ini. Adakah roh anda akan tenang? Cuba renungkan.


2. Proses undang-undang yang rumit

Saya telah memberikan ratusan ceramah di seluruh Malaysia semenjak 10 tahun yang lepas untuk berkongsi maklumat dengan orang Islam betapa penyediaan dokumen perancangan harta pusaka ketika mereka masih hidup kini merupakan satu langkah penting untuk mengelakkan waris mereka dari menghadapi proses undang-undang yang rumit. Ramai orang Islam beranggapan bahawa proses tuntutan harta pusaka adalah suatu perkara biasa yang akan dilalui secara "semuala jadi" oleh semua waris. Namun proses ini sebenarnya bukanlah semudah yang disangka.

Bagi rakyat Malaysia yang menetap di Semenanjung, apabila berlaku kematian, waris perlu melalui proses undang-undang Syariah dan Sivil. Mereka perlu pergi ke Mahkamah Syariah dan pada masa sama, Mahkamah Sivil bagi mendapatkan perintah yang tertentu kerana kedua-dua mahkamah ini mempunyai jurisdikasi (bidang kuasa) yang berbeza di dalam proses tuntutan harta pusaka Muslim mengikut Artikel 121 (1A) Perlembagaan Malaysia.

Melalui pengalaman saya, apabila saya bertanya kepada waris, adakah mereka tahu ke mana harus mereka tuju, apa borang yang perlu diisi dan proses di mahkamah manakah yang mesti didahulukan atau dikemudiankan? Sebanyak 95 peratus waris akan menggeleng kepala. Saya tidak salahkan mereka kerana dengan proses undang-undang yang rumit sebegini, ia memang mengelirukan bagi orang yang tidak berpengetahuan dan berpengalaman di dalamnya.

Apakah pula kesan proses undang-undang yang rumit ini kepada waris? kesan utamanya ialah proses untuk menuntut harta pusaka ini akan memakan masa bertahun-tahun lamanya sebelum harta dapat diterima oleh mereka. Anda rasa keadaan ini 'tidak mengapa'? Bayangkan sekiranya pasangan anda suri rumah tangga dan anak-anak pula masih sedang belajar dan memerlukan peruntukan perbelanjaan yang tinggi. Bagaimana mereka akan meneruskan kehidupan mereka?.

Anda memang ada meninggalkan tabungan untuk mereka seperti akaun simpanan dan pelaburan tetapi kegagalan anda merancang harta pusaka anda menyebabkan mereka tidak boleh menerima harta itu dalam jangka masa yang terdekat. Kasihan bukan, tetapi itulah hakikat yang kemungkinan besar akan berlaku kepada waris anda kerana 95 peratus waris Muslim tidak merancang harta harta pusaka mereka. Anda kemungkinan besar adalah salah seorang darinya!


3. Fi pengurusan harta pusaka yang membebankan waris

Oleh kerana proses undang-undang yang rumit di atas, fi atau perbelanjaan untuk menguruskan harta pusaka adalah agak mahal dan membebankan waris. Akta Pobet dan Pentadbiran 1959 membenarkan sehingga 5 peratus daripada nilai harta pusaka dicaj sebagai fi pengurusan harta pusaka.

Ramai orang Malaysia tidak tahu bahawa apabila mereka mendapat perkhidmatan profesional seperti syarikat amanah atau peguam, kebiasaan mereka akan dicaj di antara 2 hingga 4 peratus dari nilai harta pusaka. Initidak termasuk fi buka fail yang kebiasaannya di antara RM 500 hingga beberapa ribu ringgit, fi guaman yang mencecah sehingga ribuan ringgit dan fi yang lain.

Kesemua fi ini perlu ditanggung oleh waris dan keadaan ini tentu membebankan mereka. Sudahlah mereka menanggung trauma kerana kehilangan anda sebagai orang yang tersayang, kegagalan anda membuat sebarang perancangan membuatkan mereka terpaksa pula menanggung beban kewangan sebelum mereka boleh menerima harta pusaka yang anda tinggalkan. Sadis bukan?

Apabila saya bercakap kepada orang Islam menegenai perancangan harta pusaka,respons 'standard' yang biasa saya terima , "saya mana ada harta, jadi tak perlulah untuk saya menyediakan apa-apa dokumen".

Respons "standard" yang saya akan berikan pula ialah, "Kerana harta kita sedikitlah, kita kena pastikan waris kita akan terima harta ini dengan cepat dan pada kos yang minimum!". Banyak atau sedikit harta yang ditinggalkan, inilah sebenarnya cabaran yang mesti dilalui semua waris Muslim apabila berlaku kematian.

Ketiga-tiga keadaan ini sebenarnya boleh dielakkan sekiranya kita merancang harta pusaka kita melalui dokumen Syarak seperti Hibah, Wasiat Islam, Harta Sepencarian atau amanah. Saya harap artikel ini akan membuka minda pembaca untuk mula merancang harta pusaka mereka. Kalau anda benar-benar sayangkan waris anda dan mahu mereka menghadapi kesukaran tersebut, bertindaklah hari ini kerana anda tahu bila anda akan dipanggil pulang!.

Penulis :
En. Ariffin Sabirin
Penasihat Kumpulan Syarikat Wasiyyah Shoppe

0 comments: